Blog ini adalah untuk membantu pelajar sekolah (UPSR/PT3/SPM) dan pasca sekolah (Kolej/Universiti) menguasai teknik serta format karangan dan kertas kerja kursus.

Rabu, 15 Mac 2017

Panduan Bagaimana Menulis Karangan Berita - Pendahuluan

Tiada ulasan :

Menulis karangan berbentuk berita berbeza dengan karangan lain. Berikut adalah cara-cara menulis sebuah laporan berita.

Laporan berita ayatnya ringkas dan padat isinya. Orang yang membaca berita mahu tahu akan peristiwa yang telah terjadi. Maka, hendaklah penulis menyampaikan isi berita secara jelas dan jujur berdasarkan apa yang disampaikan oleh saksi kejadian. Maksudnya, penyampaian itu mestilah mengikut apa yang dapat dicapai oleh lima deria rasa manusia dan bukanlah mengikut apa yang dirasakan dalam hati atau dibayangkan dalam minda saksi itu. 

Karangan berita memerlukan kita memberi penerangan tentang suatu peristiwa yang benar-benar berlaku atau isu semasa. Maka, setiap fakta yang disampaikan mestilah betul, logik dan boleh diterima akal yang waras.

Format Pendahuluan 

Mulakan dengan nama bandar di mana suatu peristiwa berlaku. Nama itu mestilah ditulis dengan huruf besar kesemuanya. Kemudian, letakkan tanda koma (,) dan tulislah tarikh hari kejadian dimulai dengan nombor hari diikuti dengan bulan dan seterusnya diletakkan sengkang (-).

Contoh:

KAJANG, 7 Januari -

KUALA LUMPUR, 18 Disember -


Pendahuluan Berita

Di sini, anda perlu menuliskan ringkasan kepada berita yang hendak disampaikan. Adakalanya, pembaca tidak mempunyai banyak masa dan dia hanya dapat membaca satu perenggan sahaja. Oleh itu, amatlah penting untuk memberitahu dengan lengkap tetapi ringkas akan isi berita di bahagian pendahuluan ini. Jika di dalam berita ada melibatkan orang kenamaan, maka hendaklah disebut namanya dan diberitahu apa yang dilakukan atau diperkata olehnya. 

Contoh:

1. NEW YORK, 7 Januari - Mustafa Sadri telah membanggakan negara dengan memenangi pingat emas pertama untuk Malaysia dalam kejohanan Siri Maraton Dunia di sini pagi tadi. 

2. KUALA LUMPUR, 18 Disember - Seorang perompak mati ditembak polis ketika cuba melepaskan diri selepas merompak sebuah bank di sini kira-kira jam 6.30 petang tadi. Semua hasil rompakan berjaya diperoleh semula.

3. MUAR, 6 Julai - Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Sains Muar cedera parah kerana dibuli lima rakannya petang semalam akibat tidak mahu meminjamkan kasut bolanya. Pelajar itu kini dalam keadaan tenat di Unit Jagaan Rapi, Hospital Pakar Sultanah Aminah di sini. Kelima-lima pembuli itu sedang ditahan polis untuk siasatan lanjut.


Bagaimana Menulis Karangan Laporan Berita - Isi Kandungan








Tiada ulasan :